Wednesday, July 28, 2010

Cinta & Keikhlasan

ISLAM adalah agama yang hakiki dan realiti, bukannya agama khayalan atau melawan arus fitrah insan. Oleh yang demikian, Islam tidak menafikan terdapat di sana perkara-perkara yang dikasihi, disukai dan dicintai oleh manusia kerana ia sememangnya merupakan kecenderungan dan fitrah setiap insan.

Maka seorang manusia itu akan mengasihi keluarga, harta dan tempat kediamannya. Namun, tidak sepatutnya terdapat sesuatu di dunia dan akhirat lebih dikasihi daripada kecintaan terhadap ALLAH dan Rasul. Jika berlaku sedemikian, maka dia adalah orang yang kurang imannya dan wajib dia berusaha untuk menyempurnakan keimanannya. ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Orang-orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada ALLAH.” (al- Baqarah: 165)

Dunia hari ini menyaksikan umat Islam tidak lagi menjulang cinta kepada ALLAH sebagai cinta yang utama, tidak lagi mahu bermujahadah mengejar cinta Khaliqnya. Sebaliknya, sentiasa bersemangat dan memperjuangkan cinta kepada dunia dan hamba-hamba dunia.

Huluran Cinta Allah dan Cinta Rasul

APABILA rakyat mencintai rajanya, hal itu perkara lazim dilakukan. Bagaimanapun, suatu hal sungguh menyentuh hati ialah apabila seorang raja mengasihi rakyat tanpa pilih kasih. Sanggup berdebu dan menjejak tanah, memberi apa diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati paling lembut kepada rakyat.

Lebih hebat lagi cinta Allah kepada hamba-Nya. Allah Yang Maha Agung dan Perkasa itu mengisytiharkan kedudukannya yang amat dekat kepada hamba-Nya. Firman Allah bermaksud:

“Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Rasulullah SAW juga sangat mencintai umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata:

Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Huluran Cinta Allah dan Rasulullah bukan untuk dibalas tetapi untuk disyukuri dan diteladani. Mensyukuri cinta Allah dan meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Demikian itulah keikhlasan dalam bercinta.


Mudah terucap, Sukar direalisasikan.

Ungkapan cinta sudah tidak asing lagi ditelinga kita. Apatah lagi di kalangan remaja kerana sudah menjadi tanggapan umum bahawa cinta bermaksud rasa sepasang merpati dua sejoli yang mabuk dilanda asmara.

Bila menyebut tentang cinta,seringkali yang terbayang di kepala kita adalah pasangan-pasangan kekasih sehidup semati ‘Romeo and Juliet’, ‘Laila dan Majnun’, ‘Uda dan Dara, dan sebagainya. Pengorbanan yang mereka lalui dalam merealisasikan cinta mereka menjadi pujian yang tidak berkesudahan.

Jalaluddin ar-Rumi menggambarkan mengenai keindahan dan keasyikannya cinta itu, sehingga syaitan pun dianggap bidadari. Yang pasti, sudah ramai orang yang berbahagia kerana cinta, namun tidak kurang juga yang menderita kerana penangan cinta. Cinta dapat membuatkan seseorang itu menjadi mulia, dan cinta juga berupaya menjerumuskan seseorang itu ke lembah yang paling hina.

Cinta yang Mulia VS Cinta yang Hina.

“CINTA” dari segi bahasa bermaksud kecenderungan. Berpandukan kepada maksud ini dapatlah didefinisikan sebagai “kecenderungan yang kuat terhadap sesuatu yang disayangi sehingga membuatkan seseorang itu sentiasa membayanginya, menyebut namanya, rela berkorban deminya, menerima sepenuh hati segala yang ada pada insan yang dicintainya itu walaupun terdapat kekurangan padanya dan meluahkan semuanya melalui ungkapan kata-kata dan perbuatan.

Namun, dalam meletakkan cinta itu pada landasan yang betul memerlukan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh pencipta cinta itu sendiri. Seseorang yang memiliki sebuah kereta pastinya memerlukan garis panduan atau kaedah penggunaan yang betul dari syarikat pengeluar kereta tersebut agar dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan yang boleh mengundang musibah kemalangan yang mungkin saja akan membinasakan dirinya bahkan juga mampu membinasakan orang lain.

Begitu pula gambaran sebuah api pelita yang menyala dengan bantuan minyak ia akan terus menyala dan menerangi sekelilingnya. Namun pelita ini memerlukan kepada cermin yang dapat melindungi api nyalaan untuk terus menyala dan menerangi sekeliling. Tanpa cermin, nyalaan pelita mungkin akan padam dan kegelapan mengisi kekosongan atau mungkin juga bakal menyebabkan kebakaran yang akan memusnahkan sekeliling tanpa disedari.

Demikianlah jua dengan setiap diri manusia yang memiliki perasaan cinta “Ingin mencintai dan dicintai” hasil kurniaan Allah s.w.t. Keselamatan dan kemuliaan cinta itu akan dicapai melalui panduan yang digariskan pencipta cinta itu sendiri sebagaimana kereta yang dicipta pasti seiring dengan penciptaanya diwujudkan garis panduan menggunakannya agar terpelihara keselamatan dan menghindarkan kerosakan. Begitu pula cinta itu harus ada pendidingnya agar faedahnya tidak berubah menjadi musibah sebagaimana gambaran sebuah api pelita tadi. Semuanya ini pasti memerlukan ketelitian dan kefahaman yang dapat dipelajari daripada pencipta kepada benda-benda tadi.

Bila mana kita katakan cinta itu kurniaan dan ciptaan Allah s.w.t. adalah wajar kita mengikut garis panduan yang Allah tetapkan melalui panduan kitab-Nya (al-Quran) dan teladan serta tunjuk ajar daripada Rasulullah s.a.w. dalam mengambil hikmah dari kewujudannya disitulah letaknya keselamatan dan kemuliaan. Namun apabila kita mengenepikannya dengan menuruti jejak langkah syaitan dan dorongan hawa nafsu. Ketahuilah, kita berada di ambang kehinaan yang bakal mengundang musibah dan kerosakan pada diri kita dan orang lain samada semasa hidup di dunia bahkan jua di akhirat kelak.

Cinta yang hakiki dan sejati

Carilah cinta sejati, di lautan cinta berbahterakan taqwa berlayarkan iman yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu. InsyaAllah kita akan sampai kepada tujuan dijadikan perasaan cinta itu iaitu cinta kepada Allah s.w.t. Itulah cinta hakiki yang kekal selama-lamanya.

Adapun cinta kepada makhluknya, pilihlah cinta yang hanya berlandaskan cinta kepada Allah dan Rasulnya agar dapat melabuhkan bahtera yang digunakan untuk melayari lautan dunia di pelabuhan redha Allah s.w.t. Demikian itulah ‘Ubudiyah kita kepada Allah sebagaimana yang diperintahkan-Nya.

“Ya Allah, Kurniakanlah kepada kami CintaMu dan Cinta kepada mereka yang mencintaiMu dan apa saja yang mendekatkan kami kepada cintaMU…” Aameen…

No comments:

Post a Comment